Sunday 23 October 2016

Madu Kelulut jadi Produk SUPERFOOD




Madu kelulut mempunyai pelbagai khasiat antioksidan yang tinggi berbanding madu-madu tempatan yang lain mahupun madu import.
Dalam hal ini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, MARDI telah membangunkan madu kelulut sebagai produk superfood dan akan berada di pasaran.
Ini berikutan senario semasa, produk superfood di pasaran mempunyai nilai dan harga yang tinggi berbanding sumber superfood segar seperti buah raspberi, ceri dan teh hijau.
Sebagai usaha berterusan bagi penjenamaan dan menguar-uarkan kebaikan madu kelulut kepada masyarakat, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Kelulut Walk 2016.
Program tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada 18 September lalu yang bertemakan Mulakan Hari Anda Dengan Madu bersempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2016.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah kementerian.
Sabri Ali atau lebih dikenali sebagai Pak Sabri adalah seorang juruteknik dari Kemaman, Terengganu telah dipilih sebagai duta madu Kelulut Walk 2016 telah memulakan perjalanan solo terjauh merentas 14 buah negeri sejauh 2,000 kilometer bermula di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor.
Beliau telah memulakan latihan intensif bagi menjayakan Kelulut Walk 2016 sejak tahun 2014. Bagi memastikan beliau mempunyai stamina yang konsisten, Pak Sabri mengamalkan pengambilan madu kelulut sebagai makanan tambahan dan kesihatan setiap hari.
Sejarah
Misi perjalanan solo Pak Sabri akan mencatatkan sejarah tersendiri dalam The Malaysia Book of Records sebagai Perjalanan Solo Terjauh.
Sehingga kini, beliau telah merentasi negeri Selangor, Sarawak, Sabah, Perak dan Pulau Pinang di daerah-daerah terpilih sejauh 463.69 kilometer. Menerusi kempen ini juga, rakyat Malaysia turut digalak mengambil madu kelulut tempatan sebagai makanan kesihatan tambahan.
Pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan oleh jabatan bagi menyokong Kelulut Walk 2016. Antaranya, kursus Pengenalan Kelulut dan kursus Inovasi Kelulut Topping Gold di Selangor serta kursus Talk About Kelulut di Perak.
Program ini juga mendapat sokongan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Perjalanan Pak Sabri akan bersambung ke Kedah dan Perlis pada 24 hingga 26 Oktober 2016. Orang ramai dijemput hadir ke Menara Jam, Sungai Petani, Kedah hari ini (24 Oktober) bagi memberikan sokongan kepada Pak Sabri dan memeriahkan program Agro Karnival Kelulut yang akan diadakan di sana.
Program-program ini diharapkan dapat memberi pendedahan dan galakan kepada orang ramai berkenaan penternakan kelulut dan potensi madu kelulut.
Penternakan lebah kelulut kini semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak sama ada individu, swasta, agensi dan institusi pengajian tinggi.
Jabatan akan terus memainkan peranan memberi khidmat nasihat pengurusan koloni dan bantuan kepakaran kepada individu dan usahawan muda yang berminat bersama-sama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.



Hotline : 0197890060 Admin

No comments:

Post a Comment