019 7890060
Ratu lebah kelulut mengawan hanya sekali seumur hidup tetapi akan terus bertelur antara 50 hingga 350 biji sehari dalam tempoh dua hingga tujuh tahun hayatnya.
Selepas mengawan dan menyimpan telur di dalam kantungnya, ratu tidak boleh terbang lagi kerana sayapnya tidak dapat menampung perutnya membesar tiga kali ganda daripada saiz lebah biasa dan hanya mampu berjalan melihat lebah pekerja melaksanakan tugas.
Sepanjang tempoh itu, ratu kelulut akan 'dilayan' bagai menatang minyak yang penuh apabila semua keperluannya seperti makan minum, persekitaran dan takhtanya akan dijaga sepenuhnya oleh 'pekerja dan tenteranya'.
Ratu juga paling berkuasa di dalam log kelulut. Bagaimanapun, selepas tidak lagi produktif, ia dengan sendirinya terpaksa turun takhta atau mati dan diganti dengan ratu baru.
Uniknya, semua pekerja adalah kelulut betina manakala yang jantan hanya ditugaskan mengawan bersama ratu sahaja!
Jika bukan musim mengawan, kelulut jantan hanya berterbangan mencari makanan.
Bagaimanapun, malang bagi kelulut jantan kerana hayatnya berakhir dalam tempoh sehari selepas mengawan. Lebih tragis, si jantan akan meninggalkan alat kelaminnya pada ratu! Mungkin itu yang menyebabkan ia mati.
Tidak seperti telur haiwan lain yang menetas secara secara semula jadi, telur kelulut akan ditetaskan pekerja dalam tempoh pengeraman antara 16 hingga 20 hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Diva Bee Enterprise Khamarul Azman Mustafa berkata, telur yang mengandungi ratu tiga kali ganda lebih besar berbanding telur yang mengandungi pekerja.
“Pekerja mempunyai jangka hayat hidup lebih singkat iaitu antara 75 hingga 100 hari kerana kekurangan sumber makanan atau terlalu kuat bekerja.
Lebah kelulut akan mula bekerja beberapa hari selepas ditetaskan,” katanya ketika ditemui di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Khamarul Azman berkata, lebah kelulut berfungsi sebagai pembuat sarang telur, penjaga makanan dan memberi makan ratu, pengawal mutu yang bekerja untuk menapis dan menilai madu yang diasingkan untuk makanan ratu, disimpan atau terus diminum, pengawal menjaga koloni, pencari dan pengumpul madu dan ratu. Semua ‘jawatan’ itu ditetapkan oleh ratu.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan bersama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya menemukan kitaran hidup kelulut yang begitu unik.
Menurutnya, lebah kelulut atau nama saintifiknya Trigona spp dikategorikan sebagai lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu (Aps sp).
Katanya, lebah kelulut yang diternak Konsortium Penyelaras Koperasi Negeri Pahang Berhad (Kospen) di Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih Bukit Goh, Kuantan adalah daripada jenis Itama Mega kerana bersesuaian dengan persekitaran yang redup dan di kawasan pokok buah-buahan seperti mangga, rambutan, durian serta bunga hutan.
“Penghasilan madu kelulut banyak berlaku antara Februari hingga September manakala pada Mac hingga April, lebah giat menghasilkan koloni baru.
“Pengeluaran madu akan berkurangan pada musim tengkujuh kerana lebah tidak dapat keluar disebabkan hujan selain madu dihasilkan menjadi sumber makanan kepada anak kelulut untuk memperkuatkan koloni,” katanya.
Beliau yang dilantik sebagai perunding untuk projek penternakan lebah kelulut Kospen berkata, kitaran hidup kelulut yang begitu unik dan berdisiplin dalam penghasilan madu menjadikan permintaan terhadap madu kelulut makin meningkat di pasaran.
Katanya, madu kelulut mempunyai rasa yang berbeza mengikut spesies dan sumber makanannya.
“Rasa berbeza seperti masam dan manis, berwarna gelap atau cerah serta kepekatannya bergantung kepada sumber makanannya dalam radius satu kilometer daripada kawasan ternakan.
“Dianggarkan antara lima hingga 25 peratus air terkandung dalam madu kelulut menyebabkan rasa dan kepekatannya berbeza-beza,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kelulut Sampugita Kelantan Berhad berkata, harga madu kelulut boleh mencecah sehingga RM350 sekilogram dan permintaannya sentiasa meningkat.
“Ini kerana khasiatnya serta kadar antioksida yang tinggi dipercayai dapat membantu merawat dan mencegah beberapa penyakit termasuk barah, menguatkan tulang belakang, ulser, menstabilkan tekanan darah serta glukos dalam darah dan memperkuatkan fungsi hati.
“Madu kelulut juga mempunyai jangka hayat panjang dan boleh dijual mentah selepas dituai tanpa melalui sebarang proses,” katanya yang memiliki 1,600 koloni kelulut di ladang ternakannya di Kampung Kepulau, Pelekbang, Tumpat, Kelantan.
Sementara itu, permintaan yang makin meningkat sejak tiga tahun lalu terhadap madu lebah kelulut, ditambah pula dengan potensi kawasan penternakannya yang luas di Pahang berjaya ‘membuka mata’ Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang untuk mengusahakan ternakan lebah kelulut secara berkelompok.
Projek itu dilaksanakan Kospen di kawasan seluas dua hektar dengan 260 koloni kelulut di Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih Bukit Goh, Kuantan.
Pengarah SKM Pahang Datuk Mohamad Zawawi Mahmud berkata, projek perintis dengan modal RM450,000 dilaksanakan bagi membantu keanggotaan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) Pahang yang terdiri daripada golongan miskin keluar daripada paras kemiskinan dan mereka sudah menerima lima peratus hasil daripada keuntungan projek.
“SKM memberi geran bantuan RM50,000 untuk setiap Kobera dan peruntukan itu dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan Kospen mengusahakan projek madu kelulut di Bukti Goh.
“Sejumlah 50 kilogram madu dihasilkan di ladang ini setiap bulan dan pengeluarannya ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menampung permintaan mencecah 100 kilogram sebulan,” katanya.
Bagi tujuan itu, Zawawi berkata, SKM bersama Kospen merancang untuk mengumpul penternak kelulut di seluruh Pahang bagi tujuan penghasilan madu secara berkelompok dan menjadi pengeluar terbesar selepas Kelantan.
“Kita mahu jadikan madu kelulut sebagai identiti Pahang selepas Tenun Pahang Diraja seperti merujuk kepada ‘budu’ secara rasionalnya orang akan merujuk kepada Kelantan.
“Bagi merealisasikan impian SKM Pahang untuk menjenamakan produk madu kelulut ke pasaran antarabangsa, kita akan membawa beberapa produk berasaskan madu kelulut seperti sabun, madu, kopi dan pil makanan tambahan untuk dipromosikan sempena Halal Food Festival di Oman yang berlangsung selama enam hari bermula 18 September ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment